Halaman

28 Ogo 2010

Memerdekakan Diri Dari Gejala Negatif

SABAN tahun kita rakyat Malaysia merayakan ulang tahun kemerdekaan dengan pelbagai tema. Tetapi pernahkah kita bertanya adakah kemerdekaan yang kita kecapi itu telah kita isi sepenuhnya atau dengan kata lain, adakah kita menghayati dan merenung kembali ciri-ciri yang diperlukan oleh sebuah negara yang merdeka?

Jika dikaji definisi kemerdekaan itu sendiri, kemerdekaan bukanlah sekadar bebas daripada belenggu penjajah dalam bentuk pemerintahan. Kemerdekaan juga bermakna bebas daripada penindasan politik, ekonomi dan sosial. Meneliti sejauh itu makna kemerdekaan, sepatutnya kita kembali bertanya diri sendiri, bagaimana mahu diisi kemerdekaan ini? Kita telah bebas daripada cengkaman penjajah kira-kira 53 tahun lamanya. Usia 53 tahun bukanlah usia yang muda. Seandainya diibaratkan seorang lelaki, ia sudah berkeluarga dan mempunyai cucu. Oleh yang demikian, dalam kita merayakan ulang tahun ke-53 hari kemerdekaan yang bakal kita sambut nanti, marilah kita sama-sama menghayati dan memahami pengertian yang tersirat di sebalik yang tersurat dan tidak semata-mata menjadikannya sebagai pesta tahunan semata-mata

Jika kita teliti tema hari kebangsaan pada tahun ini, iaitu “1Malaysia Menjana Tranformasi”, maka tergambar kepada kita akan keghairahan kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang beranjakan transformasi dalam pelbagai aspek khususnya masyarakat yang berakhlak mulia.

Kita sedia maklum, kemelesetan dan kebejatan sosial dalam kalangan generasi muda kini begitu ketara. Keruntuhan akhlak dan gejala pembuangan anak semakin menjadi-jadi. Di merata-rata, masyarakat sibuk membicarakan penyakit sosial dan kalau tidak dibendung dari awal dan hingga ke akar umbi maka kebejatan sosial ini akan membawa luka yang besar dan bisa menjadi barah.

Oleh itu, tidak dapat tidak, usaha menangani masalah sosial yang kian tenat dalam kalangan remaja masa kini adalah menjadi tanggungjawab bersama, sama ada ibu bapa, institusi pendidikan, jabatan kerajaan, parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
Pembinaan institusi keluarga yang mantap adalah hospital yang paling anggun bagi merawat penyakit sosial dan jiwa ini. Keluarga yang mantap dan bahagia menjadi penawar kepada aneka resipi penyakit sosial. Ia juga menjadi prasyarat dalam merencana rekayasa sosial. Lantaran itu pada peringkat sekolah, aspek rekayasa sosial adalah salah satu cara dalam mengukuhkan institusi keluarga menerusi pembentukan masyarakat sakinah bagi menghadapi era globalisasi zaman mutakhir ini.

Menyedari peri pentingnya golongan remaja kepada pembangunan dan masa depan negara, aspek jati diri pada usia muda khususnya pada peringkat sekolah rendah eloklah diberi penekanan. Pembentukan jati diri yang kukuh boleh diumpamakan perisai diri seseorang terhadap pengaruh yang berlawanan dengan nilai yang dipupuk bagi membentuk jati dirinya.

Molek benarlah dengan tema “1Malysia Menjana Transformasi” sempena sambutan kemerdekaan yang bakal kita rayakan nanti, marilah kita mengambil iktibar daripada tema itu bagi merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat di negara kita.

Marilah kita bersama-sama bergandingan bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang berhemah dan berakhlak mulia. Tiada khazanah yang paling berharga melainkan zaman belianya. Gunakanlah masa muda dengan sebaik-baiknya. Jika masa muda kita kesampingkan, negara kita akan rosak binasa dan ketandusan pewaris pada masa depan.

ADNAN AWANG,
Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru 2,
Kemaman.

2 ulasan:

Pengikut