Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru  untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?
"BELAJARLAH memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah anda menggalakkan  komunikasi yang lebih baik."
KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah  untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan.  Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa  yang lebih efektif?Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?
Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.
Jadikan contoh
Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.
Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan  diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika  salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.
Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.
Mendisiplinkan anak 
Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik  mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk  adalah salah satu contohnya. 
Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan  dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan  bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu  tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.
Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak  melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan  mungkin satu tindakan yang wajar. 
Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul  sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan  perilaku yang betul kepada anak.
Memahami anak
Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak  kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau  melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang  salah?
Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat.  Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had  mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada  perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak,  boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.
Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa  disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan  pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih  tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin  bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.
Pemakanan sihat
Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak.  Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap  kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan  agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam  pinggan. 
Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan  secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa.  Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan  kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan  juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan  produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi  gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.
| "GALAKKAN anak aktif dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan risiko menjadi obes." | 
Aktiviti fizikal
Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah.  Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan  video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet  yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan  aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.
Berkomunikasi secara efektif
Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan  anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak  jelas merupakan satu kemahiran penting. 
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama  anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah  serta alkohol. 
Sentiasa bersedia
Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan  masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap  bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk  setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.
Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal. 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan