Halaman

22 Sep 2010

Tuanku Faris guna gelaran Sultan Muhammad Ke-V

Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kelima untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata penggunaan gelaran itu berkuatkuasa sejak pemashyuran Al-Sultan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.
"Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan gelaran itu dan ia akan menjadi nama rasmi bagi gelaran Baginda untuk sebarang majlis dan gelaran yang harus dipakai oleh pihak media bagi mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata baginda berkenan untuk menggunakan nama itu atas kehendak sendiri dan untuk mendapatkan berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.

Katanya penggunaan gelaran Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan pada ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765 hingga 1795.

Abdul Halim berkata baginda Long Senik Long Tan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kedua (Sultan Muhammad Mulut Merah) pada 1836 hingga 1886.


Katanya, baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ketiga sejak 1890 hingga 1891.

Beliau berkata gelaran Sultan Muhammad Keempat telah digunakan oleh baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 sehingga 1920.

"Kita akan memaklumkan kepada seluruh jabatan kerajaan negeri penggunaan nama Al-Sultan dan ianya telah diwartakan untuk kegunaan rasmi," katanya.

Sementara itu, mengenai pemashyuran baginda yang berdepan dengan petisyen bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, beliau berkata Al-Sultan Kelantan tetap menjalankan tugas baginda sebagai ketua negeri seperti biasa.

"Kita telah merujuk perkara pemasyhuran itu kepada pakar undang-undang kita termasuk Setiausaha Majlis Perajaan Negeri. Kita akan memberi respons terhadap petisyen itu mengikut prosedur mahkamah.

"Ini bukanlah kali pertama dan kita yakin Setiausaha Majlis Perajaan Negeri akan memberikan penjelasan. Namun tugas dan aktiviti baginda berjalan seperti biasa," katanya mengulas petisyen yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya 20 Sept lalu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah berkenaan bahawa pemasyhuran anakanda sulung baginda, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sultan baru, tidak mengikut perlembagaan.

Tuanku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar, di Kota Bharu pada 13 September lalu.

Berhubung laporan polis yang dibuat Istana Kelantan semalam berhubung beberapa salinan dokumen palsu berkaitan pengurniaan darjah kebesaran negeri oleh pihak tidak bertanggungjawab, Abdul Halim berkata pihak terbabit telah memalsukan namanya dan tandatangannya untuk menipu mangsa kononnya mereka mempunyai hubungan dengan saya untuk mendapatkan darjah tertentu daripada Istana Kelantan, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Saya tidak pernah berbuat demikian dan tidak mempunyai kuasa untuk mengurniakan darjah," katanya. 

-Bernama

Sumber : Malaysiakini.com

Tiada ulasan:

Pengikut