Halaman

25 Feb 2012

Pinjaman sewa beli kereta kategori terbesar hutang isi rumah



S. M. MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)


BANK Negara tidak sepatutnya melonggarkan garis panduan pinjaman kereta baharu seperti mana yang dicadangkan oleh Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda).
Menurut laporan berita, Peda mendakwa pendapatan ahlinya terjejas disebabkan oleh garis panduan baharu itu,
hanya 30% daripada pembeli kereta yang berpotensi berjaya untuk memperoleh pinjaman sewa beli.
Bagaimanapun terdapat alasan yang baik kenapa garis panduan ini diperlukan dan mesti diteruskan untuk dilaksanakan.
Pertama, nisbah pembayaran hutang isi rumah Malaysia telah mencapai 47.8% pada 2010. Ini bermakna bahawa pada puratanya hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar balik hutang. Dengan itu selepas membayar balik hutang tinggal hanya sedikit baki untuk dibelanjakan ke atas makanan, pengangkutan, pendidikan, dan untuk kecemasan. Sekiranya pencari nafkah utama jatuh sakit atau kehilangan kerja, keluarganya mendapati amat sukar untuk memenuhi keperluan dan kemungkinan kegagalan untuk membayar pinjaman.
Kedua, selepas pinjaman perumahan, pinjaman kereta merupakan kategori terbesar hutang isi rumah.
Akhir sekali, Jabatan Insolvensi mengumumkan pada tahun lepas bahawa pada purata 41 orang diisytiharkan bankrap setiap hari dan penyebab bankrap terbesar (26%) adalah pinjaman sewa beli.
Oleh sebab itu, garis panduan itu mestilah dikekalkan supaya rakyat Malaysia tidak dibebankan dengan pinjaman yang mengambil sejumlah besar pendapatan mereka. Terdapat juga kesan sosial terhadap keluarga yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi. Ia boleh membawa kepada tekanan, kemurungan, masalah mental, bunuh diri dan mungkin menyebabkan perpecahan keluarga.

Tiada ulasan:

Pengikut