Halaman

4 Okt 2017

Cerita Jalan Penarikan

Jalan Penarikan: Warisan negara yang diabaikan
Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Astro Awani | Kemas kini: Disember 02, 2016 (Diterbitkan pada: Disember 02, 2016 18:06 MYT)


Jalan Penarikan: Warisan negara yang diabaikan

Image result for jalan penarikan
Salah satu babak dalam filem U-Wei Haji Saari, 'Hanyut'. - Gambar fail


TERLETAK di tengah-tengah laluan maritim utama di Asia, Semenanjung Melayu telah lama membentuk sejarah perdagangan dan pembinaan empayar di rantau ini.

Sehingga kini, Selat Melaka dan Selat Singapura disanjung sebagai dua selat bagi pelayaran antarabangsa yang paling penting di dunia dalam menjana ekonomi global.
Baru-baru ini, apabila saya menonton filem terbaru arahan U-Wei Haji Saari berjudul Hanyut, suasana dan jalan cerita filem tersebut mengingatkan saya kepada keadaan Tanah Melayu di zaman silam.
Tidak seperti jalan raya berselirat yang kita ada sekarang, jalan pengangkutan sungai adalah amat penting di Tanah Melayu pada ketika itu.
Jauh di dalam belantara Tanah Melayu dan tersembunyi 116 kilometer jauhnya dari persisiran Selat Melaka, letaknya ‘Jalan Penarikan’, laluan darat menerusi jalan sungai yang diterokai sebelum wujudnya Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1400. Pernah menjadi laluan yang mashyur di zaman kegemilangannya, Jalan Penarikan kini terbiar tidak dipedulikan dan dilupakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Bagaimanakah pentingnya Jalan Penarikan ini dalam membentuk sejarah negara ini?
Jalan Perdagangan Utama
Tanah Melayu pernah menjadi wilayah kekuasaan kerajaan-kerajaan Melayu ulung di zaman silam seperti Langkasuka, Srivijaya, Majapahit, Melaka, Acheh dan Johor. Kerajaan-kerajaan ini berkembang dengan memanfaatkan aliran perdagangan maritim yang melewati Selat Melaka dan Singapura. Namun begitu, sesetengah pelayar gerun melayari Selat Melaka yang dihurung lanun-lanun yang berleluasa terutamanya di bahagian selatan Selat Melaka yang mengunjur ke arah Selat Singapura.
Pada waktu itu, serangan-serangan lanun sering berlaku di kawasan berdekatan pulau peranginan Singapura, Pulau Sentosa yang dahulunya pernah dikenali sebagai Pulau Belakang Mati.
Pulau  Kukup yang terletak berdekatan Pekan Kukup di Johor, pernah menjadi sarang lanun, dipercayai mendapatkan namanya dari perkataan Melayu ‘gugup’, menggambarkan betapa gugupnya pelayar-pelayar ketika mereka melayari laluan berbahaya ini suatu ketika dahulu.
Tidak ada catatan sejarah yang kukuh mencatat bilakah Jalan Penarikan diterokai. Namun begitu, Jalan Penarikan dipercayai telah diterokai oleh sekumpulan sembilan keluarga dari Pasai (sekarang Acheh) di dalam ekspedisi mereka untuk mencari tanah subur bagi penempatan baru mereka.
Akhirnya, penerokaan mereka berakhir di Jempol, Negeri Sembilan, kawasan yang terletak di antara dua sungai utama bagi pengangkutan sungai – Sungai Muar dan Sungai Pahang. Tanah di kawasan tersebut subur untuk penanaman padi dan peneroka-peneroka dari Pasai ini telah menamakan tempat ini sebagai ‘Jempol’ yang menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud ‘amat bagus’.
Apabila peneroka-peneroka ini tiba, mereka mendapati bahawa Sungai Muar dan Sungai Pahang (melalui Sungai Serting) dipisahkan oleh daratan sempit sejauh 600 meter. Ini memerlukan mereka untuk menarik bot ke daratan untuk berpindah ke sungai yang satu lagi – makanya nama ‘penarikan’ telah diberikan untuk laluan ini. Sejak itu, Jalan Penarikan menjadi semakin popular di kalangan pedagang-pedagang Arab yang mengimpikan laluan yang lebih selamat untuk ke Laut China Selatan tanpa perlu mengelilingi Tanah Melayu menerusi Selat Melaka dan Selat Singapura.
                                          Peta
Selain menjadi laluan utama untuk perdagangan, Jalan Penarikan juga penting dalam usaha penjajahan dan pengembangan empayar kerajaan-kerajaan serantau. Jalan Penarikan ditempuh oleh bala tentera Srivijaya sewaktu kerajaan ini mengembangkan wilayahnya ke Tanah Melayu dalam usaha mereka menyebarkan agama Buddha. Apabila Melaka muncul di puncak kegemilangan, ianya telah digunakan oleh kesultanan ini bukan sahaja sebagai laluan perdagangan, tetapi juga sebagai medium dalam pengembangan agama Islam.

Siam dipercayai telah menggunakan laluan ini di dalam ekspedisi ketenteraannya menentang Kesultanan Melaka. Fakta sejarah ini diperkukuhkan menerusi penemuan batu nisan seorang panglima Siam bertahun 1265, memungkinkan bahawa Melaka telah wujud lebih awal dari tahun 1400. Malah, Institut Kajian Sejarah dan Patriotik Malaysia (IKSEP) berpendapat bahawa Melaka mungkin ditubuhkan pada tahun 1262.
Sebagai jalan utama menghubungkan barat dan timur, Jalan Penarikan pernah menjadi sebuah laluan yang sarat dengan aktiviti perdagangan. Walaupun kini sulit untuk membayangkan sungai-sungai di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia boleh dimudiki kapal-kapal besar, sungai-sungai ini dahulunya mempunyai kedalaman 6-9 meter, sesuai dimudiki kapal-kapal.
Akan tetapi, oleh kerana proses urbanisasi, pembalakan dan pembersihan hutan, sungai-sungai di kawasan Jalan Penarikan kini telah banyak yang berkelodak dan kini hanya berkedalaman 1.5 meter sahaja.
Sewaktu zaman pemerintahan British, jalan-jalan raya dan landasan keretapi mula dibina menghubungkan pekan-pekan dan bandar-bandar di pantai barat dan pantai timur Tanah Melayu. Jalan raya yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kuantan, dikenali sebagai Laluan Persekutan 2 sepanjang 276 kilometer dibina pada tahun 1915 dan siap sepenuhnya pada tahun 1959, 2 tahun setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Malaysia mengalami proses modernisasi yang berterusan sejak kemerdekaan dan ini bermakna pengangkutan keretapi dan kenderaan bermotor telah mengambil alih fungsi sungai-sungai sebagai nadi pengangkutan utama. Secara perlahan, Jalan Penarikan makin diabaikan dan akhirnya dibiarkan dimamah zaman.
Kesimpulan
Jalan Penarikan pernah memainkan peranan utama dalam membentuk sejarah Tanah Melayu dari zaman kerajaan Srivijaya ke era penjajahan Eropah.
Ia merupakan jalan penghubung pertama timur-barat di Tanah Melayu ratusan tahun sebelum wujudnya Lebuhraya Karak. Sungguhpun mempunyai reputasi yang hebat di zaman silam, Jalan Penarikan tidak lagi diendahkan.
Tidak seperti laluan terkemuka dunia yang lain seperti Selat Melaka dan Singapura ataupun Jalan Sutera, Jalan Penarikan kini makin luput dalam memori rakyat Malaysia.
Kebanyakan rakyat Malaysia sangat mengenali tinggalan penjajah seperti tapak warisan dunia UNESCO di Georgetown, Kota A’ Famosa, Gedung Stadhuys Melaka dan Bangunan Sultan Abdul Saman – kesemuanya dibangunkan oleh penjajah Barat, bukannya oleh orang-orang Melayu dan masyarakat tempatan.
Jalan Penarikan, walaubagaimanapun, telah diterokai dan ditemukan oleh peneroka Melayu dan sepatutnya diangkat sebagai lambang kebanggaan negara – suatu simbol kegemilangan pelaut dan peneroka Melayu yang berusaha menemukan jalan paling singkat menghubungkan Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Agak menyedihkan sekiranya rakyat Malaysia lebih peka dengan tinggalan penguasa Eropah di negara ini tanpa menyedari kebijaksaan orang-orang kita di masa lampau dalam bidang pelayaran dan penerokaan.
Sejarah ditulis oleh pihak-pihak yang memegang kuasa dan kini, kita tidak lagi diperintah oleh penjajah Barat. Tiba masanya untuk kita mengambil alih tampuk utama dalam penulisan sejarah negara berlandaskan kekuatan bangsa bagi membina jati diri yang lebih utuh di kalangan generasi muda untuk membina Malaysia yang lebih kukuh, kuat dan bersatu.
* Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang Profesor Pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
** Kenyataan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI

Tiada ulasan:

Pengikut