Halaman

4 Apr 2010

Juara F1 Sepang 2010


Vettel, Webber Menang Dua Tempat Teratas Bagi Pasukan Red Bull Di Sepang

SEPANG, 4 April (Bernama) -- Pemandu Red Bull Racing, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Petronas Malaysia 2010 manakala rakan sepasukan Mark Webber meraih tempat kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini Ahad.

Vettel, pelumba Jerman berusia 22 tahun mencatatkan masa sejam 33 minit dan 48.412 saat dalam saingan 56 pusingan diikuti Webber dengan masa 1:33:53.261s.


Pelumba Jerman Nico Rosberg dari pasukan Mercedes GP Petronas F1 menang tempat ketiga selepas ketinggalan 13.504 saat di belakang Vettel.


"Kami berdua berusaha bersungguh-sungguh dan tahu kami bersaing sesama sendiri. Jika Webber berada dalam situasi saya, saya pasti dia juga akan melakukan perkara yang sama," kata Vettel.


"Cuaca di sini amat panas dan saya tidak berhenti daripada berpeluh...nasib baik saya tidak kehabisan air dalam kereta. Adalah ketika, saya mengharapkan hujan untuk menyejukkan keadaan," katanya pada sidang akhbar selepas kemenangan itu.


Menurutnya mereka berdua mempunyai kereta yang amat baik sekali hingga mencipta kejayaan khususnya selepas mengalami kegagalan meknikal pada dua perlumbaan awal di Bahrain dan Australia.


Vettel merampas kedudukan pendahulu dari Webber dan sejak itu tidak mendapat tentangan serius dari pelumba lain sehingga tamat saingan.


Webber pula sedaya upaya cuba merapati Vettel tetapi hilang dua setengah saat untuk hentian menukar tayar dan akhirnya menamatkan saingan dengan ketinggalan 4.8 saat di belakang juara itu.


"Saingan antara kami berdua adalah sengit dan bagus serta semangat perjuangan kami amat tinggi sekali. Dia (Vettel) melakukan tanggungjawabnya dengan baik sekali," kata Webber.


Sementara itu, Rosberg merupakan pelumba tunggal pasukan Mercedes GP Petronas yang menamatkan perlumbaan selepas bekas juara dunia tujuh kali Michael Schumacher terkeluar awal selepas keretanya mengalami masalah teknikal.


"Keputusan ini adalah baik bagi kami dan tahu sukar untuk mengejar pasukan Red Bull," kata Rosberg.


Pelumba pasukan Renault, yang menduduki tempat kedua pada Grand Prix Australia di Melbourne Ahad lalu, menduduki tempat keempat.


Pasukan McLarens dan Ferraris, yang bermula di bahagian belakang, berjaya merapatkan jurang dengan menduduki di belakang pasukan Red Bull.


Pelumba McLaren Lewis Hamilton, yang bermula dari tempat ke-21, akhirnya berakhir menduduki tempat keenam diikuti pelumba Ferrari Felipe Massa.


Juara dunia 2009 Jenson Button berentap dengan pelumba Fernando Alonso dari pasukan Ferrari untuk menamatkan saingan di tempat kelapan.


Selepas Sepang, pusingan keempat F1 Dunia musim ini akan beralih ke Shanghai, China dari 16 hingga 18 April ini.


-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Pengikut