BATTAMBANG - Seorang bapa di Kemboja merantai leher
seorang anak
lelakinya pada sebatang tiang kayu elektrik di sini bagi menghukum remaja
berkenaan yang ponteng sekolah untuk bermain permainan Internet, kata polis
semalam.
Remaja berusia 13 tahun itu dirantai pada tiang elektrik sekitar
dua jam.
Jirannya kemudian menghubungi pihak polis yang tiba di tempat
kejadian bersama seorang tukang kunci untuk membebaskan mangsa.
"Si bapa amat marah apabila menemui anak lelakinya di sebuah
kafe Internet dan bukan di sekolah sehingga dia sanggup merantai anaknya di
khalayak sebagai pengajaran," kata Timbalan Ketua Polis Battambang, Cheth
Vanny.
Menurutnya, mangsa turut dipukul oleh bapanya.
Bapa berusia 40 tahun itu, Sok Thoeun yang bekerja sebagai pemandu
teksi motosikal melarikan diri selepas insiden berkenaan yang berlaku pada
Selasa lepas.
Dia kini diburu polis kerana melakukan penderaan terhadap
kanak-kanak.
"Dia sedang diburu," kata pegawai berkenaan.
"Penderaan seperti ini menyalahi undang-undang,"
tambahnya lagi.
Penggunaan Internet di Kemboja adalah antara yang terendah di Asia
Tenggara dengan kurang 1.5 peratus daripada 14 juta penduduk Kemboja
menggunakan kemudahan tersebut. - AFP
Sumber : KOSMO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan