Sumber :Harian Metro
Lapan sekeluarga yang kini tinggal di Istana Singgah yang pernah menjadi istana keturunan Raja Reman pada akhir 1800 sehingga awal 1900 tidak menduga boleh kekal tinggal di istana berusia lebih seabad itu.
Cicit kepada Raja Reman daripada keturunan Tuan Lebeh Tuan Jagong iaitu Tengku Razman Tuan Syed Ngalam Alwi, 49, berkata, dia bersama ibunya, Ramlah Mat Saman, 74, isterinya, Mariati Kamarudin, 40, dan lima anak hidup bahagia serta tinggal di kediaman mereka yang suatu ketika dulu dijadikan Istana Singgah di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak sehingga kini.
Istana milik keturunan Raja Reman dibina daripada kayu lebih 100 tahun lalu itu pernah menjadi istana tempat persinggahan keturunan Raja Reman ketika melawat ke kawasan jajahan takluknya di kawasan utara negara ini.
“Memang rumah ini asalnya adalah Istana Singgah kepada keturunan Raja Reman sejak akhir tahun 1800 dan awal 1900 kerana pusat pemerintahannya di Kota Baru, Yala, Thailand sehingga semua jajahannya di Kedah dan Lenggong, Perak.
“Bukan saja ibu tetapi juga saya sendiri lahir di sini dan semua lima anak lahir di rumah ini,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu.
Tengku Razman berkata, sejak beberapa tahun lalu ada beberapa pihak datang bertemu beliau dan ibunya berbincang untuk menjadikannya sebuah muzium mini atau kawasan bagi tujuan khazanah dan pelancongan.
“Saya, ibu dan tujuh lagi adik-beradik tidak bersetuju jika rumah itu diambil meskipun ia pernah menjadi legenda sebagai Istana Singgah kepada keturunan Raja Reman bermula daripada Tuan Lebeh.
“Biarlah ia menjadi sejarah dan khazanah berharga kepada kami dan keluarga. Kami sekeluarga selesa dan bahagia tinggal di rumah ini hingga sekarang.
“Banyak pihak datang menziarahi Istana Singgah ini setiap tahun. Bagaimanapun, kami dan keluarga tidak menghalang mana-mana pihak untuk datang melihat Istana Singgah ini atau membuat kajian selagi tidak mengganggu kehidupan kami,” katanya.
Sementara itu, ibunya yang juga isteri kepada cucu Tuan Lebeh (isteri Syed Ngalam Alwi Tuan Man) berkata, banyak pengalaman dan kenangan tinggal di Istana Singgah di situ yang tidak boleh dipisahkan.
“Pelbagai gambar daripada keturunan Raja Reman termasuk Tuan Lebeh iaitu datuk kepada arwah suami saya dan anak perempuan Tuan Lebeh iaitu Tuan Jerneh serta keturunannya selain dokumen perusahaan bijih timah dan pelbagai khazanah berkaitan termasuk surat perjanjian Raja Reman dengan pihak Inggeris masih tersimpan baik di dalam sebuah peti besi di rumah ini.
“Di istana ini dulu tersimpan pelbagai alatan kebesaran diraja termasuk cop mohor kebesaran dan tembikar tembaga berharga.
“Tetapi, sejak beberapa tahun lalu ia sudah banyak diambil saudara-mara kami yang tinggal di seluruh pelosok negeri untuk disimpan,” katanya.
Kata Ramlah, Istana Singgah yang didiaminya itu dulunya mempunyai lima bilik tidur tetapi kini menjadi empat bilik selain ruang bahagian dapur ditambah dan diluaskan beberapa tahun lalu bagi menampung kedatangan puluhan anak cucunya.
“Kami terpaksa membesarkan ruang tanpa mengubah atau merobohkan Istana Singgah yang asal bagi menampung lebih 30 anak dan cucu serta keluarga yang balik serentak terutama pada Aidilfitri,” katanya.
Sejarah Raja Reman
Sejarah pentadbiran Raja Reman yang pusat pemerintahannya di Kota Baru, Yala meluaskan tanah jajahan mereka sehingga ke Kedah, Kroh (kini Pengkalan Hulu) dan Lenggong, Perak sejak akhir 1800.
Bagaimanapun, Raja Reman turut mendominasi kawasan Klian Intan dan mengusahakan perlombongan bijih timah di situ sehingga tercetusnya beberapa siri pertikaian dengan kerajaan Perak dan beberapa perjanjian yang diusahakan antara pihak Inggeris, Siam dan Perak.
Pada 1902, kerajaan Siam menghapuskan sistem pemerintahan beraja bawah pemerintahan Raja Reman dan menyerahkan daerah Hulu Perak kepada kerajaan Perak yang berlangsung di Kroh (kini Pengkalan Hulu) pada 16 Julai 1909.
Pada 4 Januari 1984, sewaktu pemerintahan Sultan Perak Ke-33 iaitu Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah (Sultan Idris Shah II), baginda berkenan meminda nama Kroh kepada Pengkalan Hulu kerana tempat ini menjadi tempat persinggahan apabila baginda berangkat ke daerah Hulu Perak.
Sejarah nama Kroh bermula dengan wujudnya satu sungai kecil yang mengalir melalui kawasan ini berpunca dari kampung dikenali sebagai Selarong daripada nama Arab bermaksud ‘denai gajah’.
Sungai ini menjadi tempat ratusan gajah kepunyaan Raja Reman mandi serta berkubang dan kemudian membina empangan untuk membendung air bagi memudahkan gajah miliknya itu mandi.
Daripada takungan air yang sentiasa keruh kerana tempat gajah berkubang inilah kemudian dijadikan daerah itu sebagai Kroh pada masa dulu manakala tasik yang ditakungkan air itu disebut sebagai Tasek Takong sehingga sekarang.
Kini, Tasek Takong seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu dibangunkan oleh pentadbiran daerah Pengkalan Hulu sebagai taman rekreasi yang dinamakan Taman Tasek Takong. Ia dijadikan pusat pelbagai keramaian termasuk pesta perahu dan pesta menangkap ikan.
Kaitan antara gajah dengan nama Kroh juga diabadikan menerusi logo Majlis Daerah Pengkalan Hulu. - D J Dolasoh
Baca Lagi Kerajaan Melayu Reman di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan