ARKIB : 08/04/1998
Sumber : Utusan Online
kredit :http://saifudin-mtb.blogspot.com
Perang saudara di Hulu Perak
Pada akhir abad ke 19, peperangan meletus di Hulu Perak. Peperangan ini turut melibatkan daerah kecil Lenggong, tempat kelahiran saya. Perang saudara tersebut hanya berakhir pada 1909.
Setelah perang berakhir, Hulu Perak diserahkan kepada pemerintahan Negeri Perak yang ketika itu telah dijajah oleh Inggeris. Penyerahan bumi itu oleh kerajaan Siam adalah hasil Perjanjian Burney antara kerajaan Siam dengan kerajaan Perak di bawah pemerintahan Inggeris.
Sebahagian daripada Hulu Perak, bermula dari tempat yang bernama Bukit Nasah di bahagian selatan adalah di bawah kekuasaan Siam. Kerajaan Siam melantik pembesar dan wakil raja sebagai pemerintah bahagian Perak Hulu yang dulunya dikenali sebagai Negeri Reman.
Pemerintahan kerajaan Melayu Reman itu berpusat di tempat yang kini dikenali sebagai KampungSelarong yang terletak tidak jauh dari pekan kecil Pangkalan Hulu atau dulunya disebut Pekan Kroh.
Bekas istana Tuan Jagung, Raja Reman yang terakhir, masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong. Di kampung ini juga terdapat makam permaisuri Cik Neng, iaitu isteri Tuan Jagung. Permaisuri itu mangkat pada 1915.
Kemangkatan permaisuri itu ada kaitannya dengan kerinduan yang amat sangat terhadap kematian putera bongsunya yang bernama Tuan Lebih Long Raya yang bakal menjadi Raja Reman. Putera Raja Reman ini ditangkap oleh pemerintah Siam pada 1899 dan dibunuh di Bangkok. Beliau disyaki menjalankan kegiatan untuk memerdekakan Reman daripada cengkaman Siam.
Begitulah serba sedikit tentang sebuah kerajaan Melayu yang wujud di Hulu Perak sebelum abad ke-19. Cerita ini meriwayatkan satu teladan bagaimana pada masa dulu pembesar Melayu dapat digunakan oleh orang asing yang melaga-lagakan mereka supaya mereka bergaduh sesama sendiri. Dengan itu senang mereka mengambil alih pemerintahan daripada orang Melayu.
Angkara inilah yang menyebabkan berlakunya beberapa peperangan di Hulu Perak. Dulu Reman ialah daerah hulu dan terletak berhampiran dengan Patani. Kerajaan Melayu Patani yang berteraskan Islam ialah sebuah kerajaan yang kuat dan sangat stabil pemerintahannya pada abad ke-17 dan 18.
Setelah Siam menakluki Patani, negeri itu dipecah- pecahkan menjadi beberapa negeri kecil. Siam melantik pembesar Melayu menjadi raja atau pemerintah di negeri tajaannya. Reman adalah salah satu daripadanya. Di Kampung Kerunai, terdapat beberapa batu tanda yang menjadi sempadan antara Negeri Perak di bahagian hulu dengan negeri Reman yang berada di bawah kuasa Siam.
Pada 1882, satu perjanjian dibuat antara kerajaan Perak di bawah penjajah Inggeris dengan Tuan Jagung, raja Reman di bawah takluk Siam.
Dalam perjanjian itu, kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa sempadan yang baru adalah di Bukit Nasha, yang terletak kira-kira lima kilometer ke selatan pekan Grik. Hingga sekarang, tempat itu disebut bukit Nasha, iaitu mengambil sempena perkataan 'nak disahkan satu perjanjian'.
Pada 1899, satu perjanjian baru dibuat bagi menentukan sempadan yang boleh diterima oleh orang Melayu Hulu Perak. Sempadan baru itu terletak di Kerunai, di utara pekan Grik. Di situ, pada masa ini, terdapat beberapa batu tanda sempadan yang dibuat dengan simen berbentuk segi empat, kira-kira satu suku meter tinggi dan satu meter lebar. Batu itu didirikan di atas sempadan. Jarak antara setiap satu adalah kira-kira satu km.
Pada 1909, satu perjanjian iaitu Perjanjian Burney, disempurnakan antara kerajaan Perak dengan kerajaan Siam..Dalam perjanjian itu, Siam yang menguasai kerajaan Melayu Reman sejak 1826 bersetuju menyerahkan sebahagian besar Hulu Perak yang luasnya kira-kira 1,800 km persegi kepada kerajaan Negeri Perak.
Sejak penyerahan itu, daerah Hulu Perak yang rata-rata didiami oleh orang Melayu Patani dan bertutur dialek Melayu Patani bebas daripada cengkaman Siam. Namun kemerdekaan Hulu Perak bukanlah bermakna mereka terlepas daripada cengkaman penjajah lain.
Kemudian Hulu Perak berada pula di bawah pemerintahan Inggeris yang tahu bahawa daerah ini kaya dengan khazanah yang tersembunyi dalam hutan belantaranya.
Nasib kerajaan Melayu Reman agak malang. Setelah kematian Tuan Jagung, kerajaan Siam memansuhkan pemerintahan beraja ke atasnya. Dengan itu berakhir sebuah kerajaan Melayu Reman yang memerintah sebahagian daripada Hulu Perak dan sebahagian Hulu Patani yang dahulunya di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Patani.
Dalam mana mana penulisan sejarah Perak, jarang-jarang disentuh negeri Reman, sebuah kerajaan Melayu yang ditaja oleh Siam. Cuma dalam buku Hulu Perak Dalam Sejarah yang ditulis oleh Tok Muda Raja Razman bin Raja Abdul Hamid, Tok Muda Meor Shamsuddin bin Meor Yahya dan Husin bin Mahmud, ada menceritakan dengan panjang lebar kewujudan kerajaan Melayu Reman di Hulu Perak.
Demikianlah apa yang saya tahu serba sedikit tentang sebuah kerajaan Melayu di Hulu Perak dan perang saudara yang berlaku sesama orang Melayu yang didalangi oleh kuasa asing.
Sumber : Utusan online
Baca lagi Kerajaan Melayu Reman DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan