
Sumber : Sinarharian.com.my
BANGI - Akta Insolvensi 1967
yang berkuat kuasa mulai hari ini dijangka membantu mengurangkan jumlah kes
kebankrapan sebanyak 50 peratus kepada 10,000 kes setahun.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata angka itu
adalah daripada anggaran purata 20,000 kes kebankrapan setahun yang ditadbir
oleh Jabatan Insolvensi pada masa ini.
"Pengurangan
ini adalah disebabkan beberapa pindaan yang diperkenalkan dalam akta ini iaitu
had minimum kebankrapan yang dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000,
penjamin sosial tidak dibankrapkan dan pengenalan mekanisma penyelamat,”
katanya.
Beliau
berkata demikiam ketika berucap merasmikan Tarikh Kuat Kuasa Akta Insolvensi
1967 di sini, hari ini.
Selain
itu, katanya, pelepasan automatik buat pertama kalinya diperkenalkan dalam
perundangan kebankrapan di Malaysia selaras dengan hasrat kerajaan agar
golongan bankrap dapat kembali menyumbang kepada ekonomi.
"Melalui
pelepasan automatik ini, bankrap boleh dilepaskan selepas tiga tahun
sekiranya memfailkan penyata hal ehwal dan memenuhi sasaran sumbangan yang
ditetapkan sejajar dengan standard antarabangsa yang diamalkan negara maju lain
seperti United Kingdom, Hong Kong dan Australia,” katanya.
Azalina
berkata, pelepasan automatik itu juga mengurangkan tempoh masa bagi mentadbir
kes kebankrapan, sekali gus memberi manfaat kepadap pemiutang kerana dividen
boleh diperoleh dalam tempoh tiga tahun.
Menurutnya,
pindaan akta itu juga membolehkan kes kebankrapan yang melibatkan empat
kategori iaitu penjamin sosial, orang yang meninggal dunia, orang kurang upaya
dan penghidap penyakit kronik dapat dilepaskan.
“Jabatan
Insolvensi telah membuat permohonan untuk melepaskan 10,000 kes kebankrapan
melibatkan empat kategori tersebut pada tahun depan dengan bantuan 65 pekerja
sambilan bagi tugas pemfailan dengan kos perbelanjaan RM1.2 juta.
“Setelah
meneliti kes-kes lain bersama Jabatan Insolvensi, saya akan membuat kertas cadangan
kepada Kabinet untuk mendapatkan pelepasan bagi 40,000 lagi kes kebankrapan
pada tahun depan, yang akan melibatkan belanja tambahan kira-kira RM4 juta
untuk kerja-kerja pemfailan,” katanya.
Mereka
yang diisytiharkan bankrap sebelum tarikh kuat kuasa akta itu juga boleh
dipertimbang untuk diberi Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi tanpa
bantahan dari pemiutang sekiranya tergolong dalam empat kategori
tersebut.
Azalina
berkata, bagi mereka yang bankrap di luar kategori terbabit, mereka dinasihatkan
ke cawangan Jabatan Insolvensi terdekat untuk mendapatkan khidmat mekanisma
penyelamat.
“Ini
akan memberi peluang kepada seseorang untuk menyusun semula hutangnya untuk
mengelak sebarang prosiding kebankrapan diambil terhadap mereka,” katanya.
Dari
2013 hingga Ogos 2017, seramai 23,036 berusia di antara 25 hingga 34 tahun
diisytihar bankrap selain 1,109 orang berusia 25 tahun ke bawah yang turut
muflis.
“Justeru,
kerajaan berharap mekanisma penyelamat ini ianya dapat mencegah golongan
muda dari dijatuhkan bankrap dengan mudah,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan