Mengenang kisah Pasir Salak
Sumber : Kosmo Online
|
DIORAMA yang memaparkan peristiwa penting dan bersejarah di Tanah Melayu menjadi tarikan pengunjung ke Pasir Salak. |
NEGERI Perak sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri. Antaranya kesan-kesan peninggalan sejarah, keindahan pantai dan pulau, keaslian flora dan fauna, semuanya ada di negeri itu.
Tidak hairanlah, negeri yang pernah menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia suatu ketika dahulu itu cukup popular di kalangan para pelancong yang mahu mengabadikan kenangan indah mereka.
Bagaimanapun, salah satu lokasi wajib dilawati sebaik menjejakkan kaki ke negeri itu ialah Pasir Salak. Pasir Salak mencipta salah satu sejarah penting dalam perjuangan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan negara.
Di Pasir Salak, orang Melayu yang diketuai oleh Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela tercatat peristiwa menentang penjajahan Inggeris yang mahu menguasai kekayaan dan sumber negeri itu.
Sungai Perak yang mengalir berhampiran Pasir Salak menyaksikan pembunuhan Residen Pertama British di Perak, J.W.W. Birch pada 2 November 1875. Peristiwa itu membuka mata orang Melayu untuk bangkit dan menentang penjajah sehinggalah mencapai kemerdekaan pada 1957.
MERIAM tembaga Lela Retaka digunakan oleh pejuang Melayu untuk menentang penjajah Inggeris.
Terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari bandar raya Ipoh, pengunjung yang datang ke Pasir Salak boleh melihat pelbagai kesan peninggalan sejarah apabila melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Sebaik menjejakkan kaki ke pekarangan kompleks itu, pengunjung disambut dengan tugu berbentuk sundang iaitu replika pisau yang digunakan untuk membunuh J.W.W. Birch.
Berbeza daripada muzium-muzium lain yang memaparkan artifak sejarah, bahan pameran di Terowong Sejarah adalah berdasarkan bentuk catatan. Terdapat 42 diorama iaitu binaan kecil sesebuah set yang memaparkan pelbagai peristiwa penting yang dilakukan oleh pejuang dan nasionalis Melayu secara terperinci. Ia bermula dari abad ke-14 sehingga ke-19.
Bahagian pertama diorama itu memaparkan penempatan awal yang wujud di Perak iaitu di Kuala Selinsing sejak 200 tahun Sebelum Masihi. Ia kemudiannya diikuti dengan sejarah kemunculan tiga pahlawan iaitu Nila Pahlawan, Sang Nila dan Krishna Pandita di Bukit Siguntang yang kemudian menjadi raja di Temasik (sekarang Singapura) yang menjadi asas kepada Kerajaan Perak dan Melaka.
Generasi muda
Seterusnya ia menjelaskan peristiwa Malaysia ditawan oleh Portugis pada tahun 1411, Belanda pada tahun 1641 dan kemudian oleh Inggeris pada tahun 1814, Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan zaman pemerintahan Inggeris selepas perang. Terdapat banyak catatan perjuangan yang dipamerkan sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Melihat kronologi sejarah yang dipaparkan, pengunjung seolah-olah melangkah ke zaman silam. Apa yang pasti, ia memberi pendedahan kepada generasi muda hari ini untuk menghargai perjuangan nenek moyang mereka satu ketika dahulu.
RUMAH Kutai yang bercirikan rumah tradisional Perak.
Di samping itu, pengunjung boleh melawat Galeri Sejarah Kompleks Pasir Salak. Bangunan dua tingkat itu dibina dengan reka bentuk bercirikan rumah Melayu Perak Bumbung Lima.
Galeri itu memuatkan balai-balai yang mempamerkan riwayat hidup menteri-menteri besar negeri Perak yang telah banyak menyumbang jasa bakti di negeri itu.
Pengunjung boleh melawat dua rumah Rumah Kutai yang bercirikan rumah tradisional Perak. Di situ pengunjung boleh melihat pelbagai artifak dan budaya tempatan seperti senjata lama, perabot, barangan tembaga, pakaian dan kostum tradisional, manuskrip dan muzik tradisional.
Bagi menghayati perjuangan di Pasir Salak, terdapat monumen dan makam J.W.W. Birch serta lokasi tempat beliau dibunuh. Pengunjung juga boleh melihat meriam tembaga Lela Retaka yang digunakan untuk menentang penjajah Inggeris.
Salah satu tarikan yang ada di kompleks itu ialah replika Jam Suria yang merupakan konsep jam terawal di dunia. Ia digunakan oleh masyarakat dahulukala untuk menentukan waktu.
Di samping itu Galeri Sejarah Kompleks Sejarah Pasir Salak merupakan sebuah bangunan dua tingkat yang dibina dengan reka bentuk bercirikan rumah Melayu Perak Bumbung Lima.
Bagi pengunjung yang mahu bermalam di sekitar kompleks itu, bolehlah menginap di Pasir Salak Resort. Resort itu menawarkan 50 calet bilik jenis deluxe dan VIP pada harga di antara RM104 hingga RM210 semalam.
|
MAKAM Si Puntum yang dikaitkan dengan pembunuhan J.W.W Birch. |
Dari ruang balkoninya, pengunjung berpeluang melihat keindahan Sungai Perak di samping menyaksikan matahari matahari terbit dan terbenam.
Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seperti penghawa dingin, peti sejuk mini, telefon IDD dan TV warna.
Bagi mereka yang masih tercari-cari destinasi percutian yang berbeza daripada biasa, maka Kompleks Sejarah Pasir Salak adalah jawapannya. - AMMAR JAZLAN MAD LELA