Entahlah apa nak jadi dengan segelintir wanita Malaysia.Mungkinkah cinta itu buta.Anda baca isu hangat di Harian Metro hari ini.
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/04/13
KUALA LUMPUR: Seorang janda yang terpikat dengan sikap romantik  seorang lelaki Afrika menyebabkan dia kini terseksa apabila wang  simpanannya lesap dilarikan teman lelakinya itu.
Wanita terbabit yang berusia 44 tahun yang juga seorang pegawai bank  seolah-olah tidak percaya teman lelakinya itu sanggup meninggalkannya  sedangkan mereka bahagia dengan perhubungan yang dijalinkan hampir  setahun lalu.
Hanya dikenali sebagai Azie, mangsa berkata dia  berkenalan dengan teman lelakinya itu di sebuah pusat beli-belah di ibu  negara pada pertengahan tahun lalu.
“Sejak bercerai, hati  saya seolah-olah tertutup  bercinta lagi, namun apabila menemui Youssof  yang berusia 10 tahun lebih muda daripada saya, hidup saya lebih  bermakna.
“Youssof mendakwa datang ke negara ini sebagai  pelajar, namun dia sentiasa meluangkan masa bersama saya menyebabkan  diri rasa dihargai,” katanya ketika di temui baru-baru ini.
Menurutnya, setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan, dia mula  mempercayai lelaki Afrika terbabit walaupun dinasihatkan rakannya untuk  berhati-hati.
“Sebelum ini saya sering mendengar  helah lelaki Afrika yang sering  memperdayakan wanita tempatan, namun penangan cinta sejati Yousoff  menjadikan saya buta hati untuk meninggalkannya.
“Apabila  bercinta, semuanya  indah hingga saya sanggup berkorban apa saja untuk  dia termasuk melayan nafsunya serta memberikan wang ringgit,” katanya  yang mula meminjamkan RM3,000 setelah sebulan berkenalan.
Namun, selepas itu, teman lelakinya itu sering meminta meminjamkan wang  termasuk bagi membuat pembayaran sewa sebuah unit kondominium mewah di  ibu negara sebagai lokasi mereka bermadu asmara.
“Setiap kali meminjamkan wang kepada Yousoff, dia berjanji akan  memulangkan dua kali ganda wang terbabit. Kadang-kadang saya cuba  menipunya untuk tidak memberikan wang, namun belaian Yousoff membuatkan  saya cair.
“Dia bijak bermain kata-kata saya jatuh hati  hingga tidak sanggup meninggalkannya apatah lagi saya sudah lama  kesepian sejak ditinggalkan suami,” katanya.
Azie berkata,  kali terakhir dia meminjamkan wang  RM26,000 kepada Yousoff yang  mendakwa kesempitan wang untuk membiayai yuran pengajiannya ialah bulan  lalu.
“Sejak itu, Yousoff gagal dihubungi dan rumah sewanya  juga kosong. Pada mulanya saya tidak mahu berprasangka buruk, namun  akhirnya terpaksa akur yang saya diperdayakan.
“Wang  simpanan lebih RM80,000 habis diserahkan kepadanya sedangkan ia  sepatutnya digunakan untuk pengajian dua orang anak saya yang masih  bersekolah,” katanya yang membuat laporan polis kerana ditipu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat  Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany   yang ditemui mengesahkan laporan itu dan sedang menjejaki suspek.
“Siasatan awal mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu  mendapati suspek menggunakan beberapa identiti dan kami sedang  bekerjasama dengan kedutaan terbabit bagi menjejakinya,” katanya ketika  dihubungi semalam.
Sumber : MyMetro 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan