Halaman

Memaparkan catatan dengan label Bijak Wang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bijak Wang. Papar semua catatan

21 Mei 2010

Hutang Kad Kredit


Oleh Lokman Ismail (Berita Harian 19/1/2007)

CARA hidup moden mementingkan keberkesanan dan nilai kepuasan setiap barang dan perkhidmatan digunakan. Kad kredit di antara perkhidmatan memberi kemudahan dan kepuasan kepada pemiliknya. Justeru, banyak orang yang berminat memiliki kad kredit untuk kemudahan dalam urusan berkaitan kewangan.





Menurut sumber Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad kredit.

Kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, 40 peratus pemilik kad kredit di negara ini gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion (statistik Oktober 2006).

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.

Dengan kata lain, di sebalik kemegahan memiliki kad kredit, pemiliknya perlu bijak menggunakannya untuk mengelak diri terjebak masalah hutang tidak mampu dijelaskan. Fenomena penggunaan kad kredit yang melanda sekarang mencetuskan budaya hutang tanpa kawalan.

Justeru, setiap orang yang ingin memiliki kad kredit perlu memikirkan kesan penggunaannya. Fikirkan apakah benar-benar memerlukan kad kredit? Jika memiliki kad kredit, mampukah mengawal tabiat berbelanja?

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang. Ia memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun tunai dimiliki sedikit pada ketika itu.

Golongan kaya menggunakan kad kredit bukan bertujuan mengambil hutang. Kad kredit digunakan untuk kemudahan pembayaran sesuai dengan konsep awal kewujudannya diasaskan oleh Frank MacNamara pada 1950. Pada ketika itu hanya golongan jutawan dan ternama mampu miliki.

Sebaliknya pemilik kad kredit dari golongan berpendapatan menengah menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah atau dipanggil ceti moden. Pengguna hanya perlu membuat permohonan atau hakikat sebenarnya adalah ditawarkan, dan boleh berbelanja sesuka hati selagi tidak melepasi had ditetapkan.

Sememangnya Islam tidak menghalang umatnya berhutang. Malah, hutang diharuskan untuk membiayai perkara penting ketika kesempitan wang. Islam mengharuskan hutang kerana dapat membantu golongan miskin menyelesaikan masalah yang dihadapi berkaitan wang.

Pemilik kad kredit sebenarnya bukan golongan miskin yang perlu berhutang. Kad kredit dikeluarkan kepada mereka berpendapatan agak tinggi sebagai jaminan pemiliknya dapat membayar balik perbelanjaan dibuat melalui kad kredit.

Oleh itu, ada pemilik kad kredit rasa bangga memiliki kad kredit yang meletakkan dirinya golongan kaya. Sikap ini bertentangan dengan hakikat sebenarnya. Mereka sepatutnya malu terpaksa berhutang menggunakan kad kredit.

Antara sikap buruk pemegang kad kredit ialah mengambil mudah soal hutang. Banyak pemilik kad kredit berbelanja lebih daripada kemampuan membayar balik. Sikap demikian memperlihatkan keangkuhan dan berlebih-lebihan dengan kemudahan diberikan.

Disebabkan ingin menunjuk-nunjuk, banyak pemilik kad kredit berbelanja sehingga had maksimum dibenarkan tanpa memikirkan keupayaan membayar. Belanja dahulu, soal membayarnya difikirkan kemudian.

Jadi, segala keinginan berbelanja dipenuhi dengan menggunakan kad kredit. Institusi kewangan pengeluar kad kredit pula sentiasa menggalakkan penggunaan kad kredit dengan memberi pelbagai ganjaran atau peraduan menyediakan hadiah lumayan.

Sebenarnya banyak pemilik kad kredit berbelanja kepada perkara yang tidak penting atau sesuatu yang boleh ditangguhkan perbelanjaannya. Keghairahan berhutang dijadikan satu kemegahan. Inilah sikap buruk pemilik kad kredit yang menjerat diri sendiri terjerumus ke dalam kancah kehidupan mencemari nilai moral. Sikap angkuh dan berlebih-lebihan amat bertentangan dengan ajaran agama kerana mendatangkan banyak keburukan kepada diri sendiri. Sesiapa di dalam dirinya lahir sikap angkuh dikatakan termasuk golongan munafik.

Sebenarnya penggunaan kad kredit bukan disediakan secara percuma. Setiap urus niaga dikenakan caj perkhidmatan mengikut syarat. Hanya sebahagian syarikat menerima pembayaran melalui kad kredit tanpa dikenakan caj. Dengan kata lain, berbelanja secara tunai sebenarnya lebih menguntungkan.

Jumlah yang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan kepada institusi kewangan pengeluar kad kredit akan dikenakan faedah. Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Sebab itu banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang kad kredit yang semakin bertambah dari bulan ke bulan.

Ketika itu, banyak pemegang kad kredit menghadapi tekanan dan semakin sukar untuk menjelaskan hutang. Biarpun tidak lagi mengambil hutang baru jumlahnya semakin bertambah setiap bulan disebabkan faedah dikenakan.

Sekarang ada kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu.

Tindakan itu bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Sekiranya sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemilik kad kredit berdepan dengan suasana hidup semakin celaru dan krisis moral memerangkap diri.

Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan.

Sesiapa yang dikenakan status muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu.

Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada kebanyakan individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Tertekan dengan kegagalan melunaskan hutang kad kredit mendedahkan seseorang melakukan perbuatan menyalahi agama dan undang-undang. Ia termasuk menerima rasuah, menipu, pecah amanah dan melakukan urus niaga haram.

Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya. Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan saja dan diniatkan untuk membayarnya.





Merancang Kewangan Anda

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my

USAH terlalu boros dalam berbelanja, pastikan anda menyimpan pendapatan anda.

WANG adalah pasport untuk kehidupan yang lebih mudah dan selesa. Menguruskan wang ketika remaja adalah perlu. Ini kerana, ia bakal memberikan pulangan yang banyak ketika anda berusia kelak.

Rancangkanlah kewangan anda dari sekarang. Ia bukan sahaja menjamin masa depan yang selesa tetapi sebagai bekalan jika anda menghadapi kesukaran nanti.

GenK membantu menyenaraikan beberapa tip buat panduan remaja untuk mengurus dan merancang kewangan:

1. Uruskan wang

Mungkin ada remaja yang berpendapat, menguruskan wang semasa muda adalah tidak perlu. Bagi mereka ia terlalu awal untuk merancang kewangan kecuali jika mereka sudah bekerja.

Namun begitu, jika anda bersikap demikian ia hanya merugikan diri sendiri. Menabunglah daripada sekarang. Sebagai contoh, jika anda menabung 50 sen sehari, maka untuk tempoh lima tahun akan datang anda akan meperoleh wang sebanyak RM912.

KAD kredit akan membuatkan anda menjadi penanggung hutang lebih buruk jika tidak bijak menggunakannya.

2. Berbelanjalah dengan baik

Jangan berbelanja mengikut nafsu. Jika anda selalu diajak rakan untuk membeli-belah. Apa kata kadangkala anda menolak pelawaan rakan secara baik atau berikan sahaja alasan munasabah supaya tidak mengikut mereka berbelanja. Cuba menahan diri daripada godaan barang. Ada sesetengah remaja yang pantang melihat barang yang disukai, pasti akan dibelinya barang tersebut.

Selain itu, sebelum membeli sesuatu barang sentiasalah membuat perbandingan harga. Sebagai contoh, jika anda ingin membeli tudung. Apabila anda pergi ke satu kedai, jangan terus membeli tudung di kedai tersebut. Cuba pergi ke kedai lain dan buat perbandingan harga. Jika anda boleh mendapatkan harga tudung yang jauh lebih murah di kedai lain, mengapa anda perlu membazir wang membeli tudung yang mahal.


3. Faham tentang modal dan pendapatan

Salah satu konsep wang yang paling penting untuk anda tahu adalah memahami perbezaan antara modal dan pendapatan. Modal adalah berupa wang, hartanah, saham atau pelaburan lain yang menghasilkan pendapatan bagi sesiapa sahaja yang memilikinya.

Cara paling baik untuk ingat perbezaannya dengan memikirkan pokok yang berbuah.

Pokok itu sendiri adalah modal, manakala buahnya pula merupakan pendapatan. Jika anda terus memiliki pokok (modal) anda akan terus menghasilkan buah (pendapatan) setiap tahun. Selain itu, upah atau gaji yang diperoleh anda juga merupakan pendapatan daripada modal kerja.

JIKA remaja menabung syiling sebanyak 50 sen sehari selama lima tahun anda akan mengumpulkan wang sebanyak RM912.

4. Risiko kad kredit

Kad kredit adalah cara yang mahal untuk meminjam wang. Anda akan menghadapi risiko besar apabila membayar wang kad kredit nanti. Jika anda ingin berbelanja tetapi tidak mempunyai wang tunai, memadai sahaja jika menggunakan kad debit bank. Anda tidak perlu membayar hutang tetapi hanya menolak wang perbelanjaan tersebut daripada bank simpanan anda.

5. Elak daripada meminjam bank

Jika meminjam, anda seolah-olah membebankan kewangan pada masa hadapan. Sebagai contoh, jika anda meminjam wang RM10,000 daripada bank. Walaupun anda membayar balik pinjaman dengan menolak wang gaji pada setiap bulan tetapi anda tetap dikenakan faedah yang banyak

20 Feb 2010

Pinjaman Tanpa Faedah


Pinjaman tanpa faedah



AR-RAHNU merupakan sistem pajak gadai yang memberi kelebihan kepada masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan. - Gambar hiasan



KETIKA keadaan ekonomi yang tidak menentu pelbagai kaedah pinjaman wang dicari oleh pengguna sebagai cara mendapatkan wang pada kadar segera.

Selain ceti dan ah long, pajak gadai juga menjadi pilihan. Bezanya, mereka yang ke pajak gadai ialah daripada kalangan individu yang memiliki emas untuk dicagarkan.
Sayangnya, niat awal untuk menebus kembali barang yang dicagar mungkin tidak kesampaian menyebabkan ramai yang terpaksa melepaskannya walaupun ia barang berharga yang diwarisi turun-temurun.

Inilah antara kelemahan sistem pajak gadai kaedah konvensional.

Kewujudan pajak gadai di Malaysia bermula pada awal kurun ke-19. Sistem itu diperkenalkan oleh pendatang Cina yang bekerja di lombong bijih timah di Semenanjung Malaysia.
Ia dianggap sebagai salah satu cara bagi mendapatkan pinjaman tunai segera terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Sistem pajak gadai itu sangat popular kerana ia tidak memerlukan prosedur atau lebih mudahnya, perjanjian antara pemberi pinjaman dengan peminjam berlaku tanpa banyak kerenah.

Bagaimanapun, sistem tradisional itu membebankan peminjamnya apabila mengenakan kadar faedah yang tinggi, lebih-lebih lagi kepada umat Islam yang sememangnya tidak boleh melibatkan diri dengan sebarang amalan kewangan yang melibatkan riba.
Satu-satunya alternatif buat umat Islam ialah dengan menggunakan perkhidmatan pajak gadai Ar-Rahnu.
Skim Ar-Rahnu atau sistem pajak gadai Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia.
Ia diperkenal oleh Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (Ypeim) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 27 Oktober 1993. Yayasan itu bertindak sebagai pelabur utama dana, penyelaras sistem, latihan dan promosi manakala pelaksanaannya dilaksanakan oleh Bank Islam (M) Bhd.
Skim itu merupakan alternatif kepada orang ramai khususnya yang berpendapatan rendah dan mengalami kesulitan kewangan, khususnya untuk modal perniagaan secara kecil-kecilan.
Cagar mas

Ia juga sumber untuk membiayai pendidikan di samping membebaskan umat Islam daripada amalan riba dan manipulasi oleh pengamal pajak gadai konvensional yang tidak jujur.

Malah sebagai pelopor kepada sistem itu, ia dianggap mampu menjadi alternatif terbaik kepada umat Islam dan rakyat negara ini daripada terjebak dengan ceti haram dan ah long.
Bagi mereka yang masih belum memahami Ar-Rahnu, ia adalah sistem pajak gadai Islam yang membolehkan orang ramai yang memerlukan wang segera mencagarkan barangan kemas kepada pihak bank.

Ar-Rahnu merupakan satu bentuk perniagaan pajak gadai Islam yang menawarkan pinjaman tanpa faedah tetapi hanya sekadar upah simpan yang rendah.
Malah jumlah gadaian yang ditawarkan juga tinggi dengan tempoh gadaian yang fleksibel.
Bank lazimnya menawarkan kadar pinjaman sehingga 60 peratus (bergantung kepada bank) daripada nilai emas itu.

Para peminjam pula tidak akan dikenakan sebarang faedah di atas pinjaman itu sebaliknya pihak bank akan mengenakan upah simpanan berdasarkan nilai emas.
Sistem pajak gadaian yang berlandaskan hukum Islam itu memberi kelebihan kepada masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan.

Ia telah pun dinilai oleh penasihat syariah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang Islam.
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. atau lebih dikenali sebagai Bank Rakyat misalnya memperkenal Skim Ar-Rahnu sejak 1993 dengan kerjasama YPEIM.
Menurut Pengurus Skim Ar-Rahnu Bank Rakyat Mohamad Sabri Mohamed Nor, sebelum ini orang ramai menghadapi pelbagai masalah ketika menggunakan khidmat pajak gadai konvensional kerana syarat-syarat bayaran balik yang ketat dan dikenakan faedah yang membebankan.
"Skim Ar-Rahnu di Bank Rakyat menawarkan pembiayaan bercagar sehingga RM5,000 dengan tempoh maksimum enam bulan yang dibayar sekali gus apabila tempoh itu berakhir," jelas beliau.
Pihaknya turut menyediakan skim Az-Zahab iaitu membabitkan pembiayaan di antara RM5,001 hingga RM50,000 yang dibayar balik secara ansuran dengan tempoh maksimum tiga tahun.
"Skim Ar-Rahnu dan Az-Zahab berpotensi untuk muncul sebagai salah satu alternatif sistem pajak gadai berasaskan syariah atau konvensional yang sedia ada," tambah beliau.
Kedua-dua skim itu yang digubal oleh Majlis Pengawasan Syariah Bank Rakyat dengan kerjasama YPEIM menawarkan pembiayaan secara Islam dan pelanggan dikenakan upah menyimpan barang cagaran berupa emas pada kadar yang berpatutan mengikut kiraan hari, katanya.
Menurutnya jika barang cagaran dilelong, harga lelongan dikembalikan kepada pelanggan selepas ditolak jumlah pembiayaan dan upah menyimpan, menjadikan skim itu lebih telus berbanding skim konvensional.
Kemudahan Skim Pajak Gadai Islam atau Ar-Rahnu turut dikendalikan oleh Bank Islam dan Agrobank. Ia bukan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai berhutang, tetapi menyediakan kemudahan kewangan kepada orang ramai yang kesempitan wang.
Proses gadaian dilakukan secara telus iaitu di hadapan peminjam dan berdasarkan hukum syarak.
Selain dijamin daripada disalah guna, ia lebih selamat dan terjamin berbanding jika seseorang itu terpaksa mendapatkan khidmat pinjaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. - Bernama

Sumber : Kosmo Online

Pengikut