Komputer riba India RM112.12
Berita Harian 25 Julai 2010
NEW DELHI: India muncul dengan komputer riba termurah di dunia, peralatan komputer skrin sesentuh yang berharga hanya sekitar AS$35 (RM112.12). Menteri Pembangunan Sumber Manusia India, Kapil Sibal minggu ini mengumumkan peralatan perkomputeran riba kos rendah yang direka khusus untuk pelajar, menyatakan jabatannya mula berunding dengan pengeluar global untuk memulakan pengeluaran secara besar-besaran tidak lama lagi.
“Kami sudah mencapai satu tahap pembangunan pada hari ini, papan induk, cip pemproses, sambungan, semuanya kos terkumpul sekitar AS$35 (RM112.12), termasuk memori, paparan dan segala-galanya,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata peralatan sesentuh itu dipasang dengan pelayar internet, pembaca PDF dan kemudahan persidangan video, namun perkakasannya dicipta dengan fleksibel bagi membolehkan komponen baru ditambah mengikut keperluan setiap pengguna.
Kapil berkata peralatan komputer berasaskan Linux itu dijangka diperkenalkan kepada institusi pendidikan tinggi bermula 2011, namun sasaran itu ialah untuk menurunkan lagi harganya kepada AS$20 (RM64.07) dan pada akhirnya sehingga AS$10 (RM32.04).
Peralatan itu dibangunkan oleh pasukan penyelidik di institusi teknologi terkemuka India, Institut Teknologi India dan Institut Sains India.
India membelanjakan kira-kira tiga peratus daripada bajet tahunannya untuk pendidikan sekolah dan memperbaiki kadar kecelikan kepada lebih 64 peratus daripada sejumlah 1.2 bilion penduduknya.
Kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ramai pelajar tidak begitu mahir membaca atau menulis dan kebanyakan sekolah kerajaan tidak memiliki kemudahan mencukupi. – Reuters